Tuesday, December 25, 2012

Tuhan

Kalau sampai satu hari,
yang kita tak jumpa dah apa-apa yang boleh disyukuri.
maka bersyukurlah,
kita masih ada Tuhan.
bahawa kita ada iman.

Tuhan yang maha mendengar, apa yang dalam hati dan yang dizahirkan.
Tuhan yang maha melihat, apa yang tersorok dan terang-terangan.

Tuhan yang maha mengetahui,
Tuhan yang menciptakan.

Kerana dengan Tuhan.
kita tak perlu pura-pura kuat untuk menahan segala beban dunia.
kerana kita ada Dia, untuk kita sandarkan.

Kerana dengan Tuhan.
kita boleh lemah menjadi manusia.
kerana kita ada Dia, yang mengampunkan.

Kerana dengan Tuhan.
kita boleh berharap, bermimpi dan jatuh berkali-kali.
kerana kita ada Dia, yang menghidupkan.

indah kan? hidup bertuhan.

kerana ramai orang mati.
kerana putus asa.
kerana putus cinta.
hilang tempat bergantung dan berharap.
dunia jadi gelap dan melemaskan.

jadi bersyukurlah. kita masih ada Tuhan.
bersyukurlah. kita ada iman. :)

ps: iman senipis kulit bawang? lebih baik dari tiada iman.

Saturday, December 22, 2012

Rabitah Kita

Imagine.

1. Bagaimana agaknya hidup kita tanpa dakwah ini?

2. Kalau kita tak terlibat dengan dakwah, apakah yang akan kita lakukan dengan seluruh usia hidup kita yang mungkin mencecah hingga 50, 60 tahun nanti?

*     *     *

Bukankah sangat rugi......... Kalau hidup selama ini, berhempas-pulas dan berpenat lelah; semata-mata untuk mengejar sesuatu yang bakal lenyap, kemudian kembali pula kepadaNya dalam keadaan tidak mencapai tujuan kita diciptakan sebenar-benarnya?

Nauzubillah.. Malu dan.... Ngeri.


-Kata sang kakak,
kita sangat bertuah bila terpilih menyusuri jalan ini.
Natijahnya, kita dapat berjalan beriringan dengan sekelompok manusia, yang sentiasa concern samada kita hadir program-program yang membina diri + peribadi kita ataupun tidak. Yang bertanya, dan yang selalu kisah akan perihal iman kita (dan pastinya tinggi rendahnya iman itu boleh diukur dengan output/amal yang kita lakukan). Yang sudi memuhasabahkan, memberi nasihat dan juga teguran kasih sayang..

Dan yang paaaaaling minima -kalau agak2 terasa nak futur jatuh pun- kita dapat bermujahadah sama-sama dan beri support satu sama lain untuk bangkit semula! -Kerana bukankah di atas dasar dan keimanan itu ukhuwwah kita dibina? :)

*Membayangkan kalau dibiar sendirian dan tidak dikisahkan oleh mereka2 yang di sekeliling, barangkali tidaklah sekuat mana kaki ini mahu selalu melangkah ke pengisian-pengisian 'ilmi dan ruhi.. dan ke taman-taman syurgawi.

Bersamamu, aku ingin lalui jalan ini. Sampai bila-bila. 
Kerna inilah intipati.. Rabitah kita :)

Saturday, December 1, 2012

Barakallahufiki

Tarikh bersejarah buat warga ASP sekalian.
Dan terutamanya buat Syifa yang disayangi selalu

1 Disember 2012

Barakallahufiki!

Pada awal perkenalan, buatku jatuh hati dengannya.
Dia yang sentiasa berlemah-lembut, bersopan santun.
Tak mungkin untuk menyimpan rasa yang bukan-bukan

Allah,
Betapa indahnya mahabbah yang Engkau berikan kepada kami.
Rasa sayang padanya terus-menerus menebal dan meningkat
Setiap kali kita bertemu.

Rasa sedih kerana terpaksa berkongsi 'dia' dengan yang lain. Yang asing pada pandanganku. Rasa gembira dan bahagia melihat 'dia' akhirnya bertemu dengan her other half. Semoga perjalanan seterusnya untuk mencapai redha-Nya lebih kukuh dan utuh. Membina keluarga muslim, memimpin ummah ke arah kegemilangan. amin.

Barakallahufiki ya ukhti,
Semoga keluarga yang dibina atas mahabbah dan redha Allah terus kekal walau cabaran datang menjengah. Semoga menempuh alam rumah tangga dengan penuh kesabaran dan toleransi.

Saturday, November 3, 2012

Falsafah Hujan dan Matahari

Melawan hujan dan terik matahari tak sesukar bertarung dengan emosi.
Kerana perempuan, memang emosional..



Akhir-akhir ni cuaca selalu tak menentu. Di Amerika dan Kanada, ada taufan Sandy. Di UIA, boleh kata setiap hari juga hujan, hujan dan hujan. Makanya, terpaksa post entry ini dalam blog 'Selepas Hujan'. eh? ;D

OK hari ni nak cakap pasal cuaca. je.


Apa di sebaliknya?

-Bagi mereka-mereka yang duduk di mahallah (hostel), untuk pergi dan balik dari kelas (baca: berjalan kaki) tanpa sekaki payung kini terasa sangatlah mencabar. Sekaki payung itu, walaupun harganya cuma RM 11.90, sangatlah berharga. Semurah-murah ia, tetap merupakan usaha murni kita untuk berlindung dari hujan lebat yang membasahkan serta panas terik yg membakar. Demikianlah. Kita akan sanggup membawa payung ke mana-mana saja dan menggunakannya kalau kita rasa sangat perlu terhadapnya. Dengan iman pula bagaimana? Adakah kita rasa perlu melakukan sesuatu untuk 'memayungi'nya daripada kekeringan dosa dan maksiat sehari-hari yang meruntuhkan? Kalau iya, ayo berikan ia sesuatu (payung, perlindungan) sebelum kehilangan..

-Bukan hanya urusan pergi-balik kelas yang dipengaruhi oleh faktor cuaca. Malah, menjemur baju juga merupakan suatu masalah kalau sekejap hujan dan sekejap panas. Macam tak ada ketetapan pula. Baru sidai di bawah matahari tadi, sedar-sedar bajunya sudah selamat menelan limpahan air hujan dari langit pula. Terpaksalah keringkan semula dan jemur sekali lagi =( ~Nampaknya dalam keadaan cuaca yang tak menentu ini, hilanglah kondisi yang sesuai utk membantu pengeringan baju tersebut dalam kadar kecepatan yg maksima. Begitu jugalah dengan hati kita. Kalau sekejap basah dan lembut dengan air mata penyesalan, kemudian dibakar pula dengan teriknya dosa serta kemaksiatanya, alamat susahlah.. Kondisi yang tak tetap ini sangatlah tak membantu penyuburan benih keimanan yang tertanam di dalam hati macam konfius sekejap.. apa sebenarnya yang sedang cuba kita lakukan dengannya? Maka, sentiasalah lakukan kebaikan secara berterusan, agar kondisi hati kita kekal sesuaai dan kondusif untuk iman yang ingin membesar dengan baik dan sihat :D moga sama-sama diberikan ketetapan hati dan istiqamah!

-Masih tentang 'sekejap hujan dan sekejap panas'. Untungnya manusia, walau apa jua cuaca dan keadaan sekeliling, tak ada halangan untuk doanya sampai kepada Allah. kan? Tak ada juga halangan dari terus beribadah dan melakukan amal-amal terbaik sebagai seorang khalifah dan 'abid -> Tak ada kes siaran terputus macam Astro, atau kes modem rosak sebab disambar kilat lalu hilang hubungan dan komunikasi :D

1 contoh ~Sepanjang-panjang waktu Dhuha, walaupun tak nampak matahari yang sedang menaik dan persekitaran pula tampak pekat dalam kegelapan disebabkan hujan yang mencurah-curah, percayalah, kita masih boleh solat dhuha! :P Heh. Pendek kata, cuaca bukan sekali-kali halangan antara kita dengan Allah (bukan macam kita yang terpaksa tunggu hujan reda untuk disampaikan/berhubung semula dengan mahallah). Maka, hanya hatilah yang sedar dan mahu akan semua itu lantas melakukan usaha 'reach out' kepada Khaliqnya. Semoga Allah sentiasa memberikan kita hati-hati yang hidup lagi hampir kepadaNya..



Akhir sekali, saya tutup dengan menghadiahkan sesuatu (analogi ek:D) untuk murabbiah dan usrahmates saya, tentang cuaca juga (dan dan je :P heh). Terimalah...

Di kala hujan lebat 
dan di tengah-tengah salji yang membeku,
ketahuilah bahawa... kalian ialah 'heater'ku.
Manakala di bawah suhu tinggi
dan lengas panas yang rimas,
Kalian ialah 'air cond'ku ;) 
Terima kasih, Allah.
Beriku teman yang baik
untuk setiap dan 
sepanjang waktu =)

Dari itu kumohon Rabbi..
Kau jadikan kami golongan 
yang menikmati.. indahnya ukhuwwah
di bawah nyamannya teduhan..
SyurgaMu~

Ameen.



Uhibbukunna fillah. Salam sayang dari bumi UIA yang sekejap panas dan sekejap hujan :D

Wednesday, October 31, 2012

Ceritera Anak Singa Pelangi


Ceritera Anak Singa Pelangi versi saya,
ASP Syifa' Rahiman.



Anak Singa Pelangi.

“Sehari sebelum akak jumpa group usrah yang baru ni, akak mimpi kene kejar singa. Rupa-rupanya group usrah ni namakan diri mereka Anak Singa”
Ummi Singa,
MUDAH’12.



Tergelak besar aku sorang-sorang kat belakang. Mana taknya. Kak Sumayyah sedang memperkatakan tentang aku. Tentang kami.

Hmm. Kalau ditanya bagaimana kami dapat nama ‘Anak Singa Pelangi’ tu, memang susah nak jawab. Tak pernah pula kami duduk serius membincangkan satu nama untuk kami gelarkan diri kami. Tak pernah pula sesiapa yang mencadangkan lalu kami mengira undi untuk setuju atau menolak. 

Cuma… Tiba-tiba terminat dekat anak singa.

Anak singa itu sangat lincah pergerakannya. Comel. Suka bermain-main dengan adik beradiknya yang lain. Saling melindungi antara satu sama lain. Walaupun nakal, tetap taat pada ibunya.

Pelangi. Pelangi itu lambang kepelbagaian. Setiap seorang mewakili warna yang berbeza. Dan, bila kesemua warna ini bercantum, barulah nampak keindahannya. Kalau Cuma ada tiga atau lima, masih tak sempurna.

Pelangi itu juga lambang ketabahan. Setuju kan kalau saya katakan, pelangi takkan keluar sebelum hujan? Begitulah ibaratnya keindahan sesuatu perkara tidak dapat dirasai jika kita tidak bersusah payah mendapatkannya.

ASP ini sangat besar ertinya bagi aku dalam membentuk diri aku yang ada hari ini.

Mulanya, kami disatukan di bumi barakah, UIAM Gombak. Atas landasan tarbiyyah dan dakwah. Kami membina hubungan ini sewaktu diri masih tercari-cari identiti diri. Apabila dipanggil, semua datang. Tak berniat apa-apa melainkan untuk ke usrah. Belum saling mengenal.

Dikejutkan dengan gerak kerja dakwah yang sangat berorganisasi. Aku yang baru nak berjinak dengan dakwah sudah diarahkan buat itu ini. Terasa seperti robot. Bekerja apabila diarahkan. Mengikut perintah ketua. Namun, kerja tetap berjalan seperti biasa.

Aku memang sudah jelas tentang kepentingan dakwah dan tarbiyyah. Tapi untuk aku bekerja dalam satu konteks yang sangat besar, sangat memeningkan! Manakan tidak, dulu di Nilai, kumpulan usrah yang ada tak sampai 20. Yang aktif boleh dikira dengan jari. Masih jelas kesungguhan Asma’ Amatullah memasak panji dakwah di daerah kontang itu.

Tetapi di Gombak ni, kene buat program berskala besar. Yang ini berorientasikan ikhwah-akhawat. Yang itu pula berorientasikan akhawat sahaja. Kene keluarkan risalah. Entry di blog mesti sentiasa diupdate, seiring isu semasa kampus. Mesti cari dana untuk jemaah. Belum lagi masuk arena tarbiyyah ahli. Segala mala database, modul, laporan usrah dan macam-macam lagi. Allahu.

Dan perselisihan sesama akhawat itu adalah fitrah. Ya. Aku mengaku kalau aku pernah berselisih dengan akhawat. Bukan perselisihan biasa. Perselisihan yang menimbulkan ketegangan dan memeningkan kepala! Kita kan berhubungan dengan manusia. Yang punya emosi dan pelbagai watak yang berbeza. Dalam mana-mana gerabak dakwah pun, pasti ada perselisihan. Mana-mana organisasi pun, pasti ada kesalah fahaman.

Alhamdulillah semuanya selesai dengan damai. Dan Alhamdulillahi Rabbil Alamin aku tak tergolong dalam golongan yang gagal dalam ujian penapisan ini.

Dan usrahlah tempat kami meluahkan segalanya. Kami menyaksikan tumpahnya air mata sesama kami. Oh. Kami masih manusia. Ada sisi-sisi manusiawi yang perlu dirai.

Mungkin… Sebab itulah ukhuwwah kami sangat rapat ibarat saudara yang punya pertalian darah.

Seiring dengan berlalunya waktu, makin aku mengerti tujuan hidup. Aku mula bekerja dengan niat yang betul. Bukan sekadar mengikut arahan atasan. Aku mula merasai kemanisan persaudaraan. Segala berita gembira, aku kongsi bersama. Seronok sorang-sorang ni tak best. Begitu juga berita yang sedih. Pemahaman. Nasihat. Menjadikan aku makin bertabah dengan segala ujian.

“Aummmmmm. Sila takut!”
“Aummmmmm. Takkan tak takut kut?”
“Aummmmmm. Tak takut ke?”
“Roarrrr”



Eh? Apa bendanya ni?

Inilah slogan ASP. Lol.


Tak payah kuat sangatlah mengaumnya

Hahaha. Sememangnya kami anak singa yang suka mengaum. Mengaum bila gembira. Mengaum untuk melepaskan tekanan di jiwa. Dan mengaum untuk menakutkan mangsa. Aummmm! Sila takut!

Murabbiah pertama mendidik kami dengan sangat tegas. Agar kami berdisiplin. Anak singa mesti tabah dan berani. Mana boleh manja-manja. Semua perintah kami taat. Err.. Kecuali wajibat yang satu ni. Setiap kali sebelum usrah, kami akan bertanya sesama sendiri.

“Kau buat tak?”
“Tak. Malaslah”
“Aku buat. Tapi sikit je”

Macam-macam perangai.

Dan, bila usrah mula, ibu singa bertanya,

“Macam mana dengan wajibat? Meh akak nak tengok”

Semua jadi tak senang duduk.

“Akak, kite buat tak lengkap. Ada hari kite tulis ada hari kite tinggal.”
“Akak, kite buat tiga baris je. Boleh ke?”
“Akak, kite buat satu je minggu ni. Tapi panjangnya beberapa muka surat.”

Tulah dia. JURNAL FALAK.

Hmm. Macam-macam alasan. Sang murabbiah tetap bertegas. Wajibat mesti dihantar samada siap atau tidak.

Begitulah. Wajibatnya mudah. Setiap pagi lepas subuh, ambil masa beberapa minit untuk menulis jurnal ringkas. Tak kisah berkisar apa. Tak kisah panjang mana. (Tapi kalau setiap hari tiga baris je parah juga tu. Takkan tiada peningkatan?)

Oh ya. Mungkin bakat menulis aku ni hasil tarbiah jurnal falak? Hehe. Alhamdulillah.

Seiring dengan masa yang bergerak pantas, sedar tak sedar, sang murabbiah bakal meninggalkan bumi barakah UIAM Gombak. Dah selesai perjuangan ilmunya. Tanggungjawabnya kini untuk kampung halaman dan keluarga. Pemergiannya ditangisi dan diraikan. Menangis bukan kecewa. Tetapi sebagai luahan emosi dan keazaman kami untuk tetap meneruskan misi hingga selesai.

Kumpulan ini dicarikan seorang murabbiah baru bagi menggantikan ibu singa yang pergi. Maka diterbangkan khas dari New Zealand seorang ukhti berjiwa kental bagi menggantikan sang murabbiah yang pergi. Memikul tanggungjawab besar menyambung tarbiyyah anak-anak singa nakal.

Dan, ASP yang sememangnya nakal ini, dalam masa yang sama, menghitung-hitung. Siapalah yang bakal menggantikan tempat ibu kami.

“Eh. Dengar-dengar ada seorang ukhti akan membawa usrah kita lepas ni. Dengarnya ukhti ni tegas sikit”

“Yeke. Habislah kita. Tak boleh mengaum dah ke?”

“Takpe. Kita tengok je nanti”

Macam-macam andaian. Memang aku akui. Aku sangat prejudis dengan murabbiah yang bakal menggantikan sang murabbiah yang pergi. Mana taknya. Aku pernah lalui macam-macam pengalaman dengan akhawat. Pengalaman yang pahit dan getir membuat aku susah untuk menerima orang baru.

Namun, bila pertama kali berjumpa, Alhamdulillah. Semuanya baik-baik saja. Perjumpaan kedua, ketiga, keempat dan yang seterusnya… Alhamdulillah. Semuanya bertambah-tambah baik. Malah perjalanan dakwah dan tarbiyyah lebih rancak. Ukhuwwah makin utuh. Dan kenakalan pun menjadi-jadi.

Itulah dia Ummi Singa yang menggantikan ibu kami yang pergi. (Tadi ibu singa. Sekarang Ummi singa) Kedua-duanya orang hebat. Namun dengan personaliti masing-masing.   

Tapi. Kamu tahu? ASP tidak lagi wujud. Yang wujud hanyalah memori-memori kami. Yang masih ada adalah semangat kami.

ASP sudah tiada. Tetapi ukhuwwah antara kami masih seperti dahulu. Sebahagian di MISK. Sebahagian di Ma Cherie. Seorang di bumi bekas diktator Gaddafi. Dan seorang dalam perjuangannya di alam kerjaya.

Buat ASP. Kalianlah cinta. Kalianlah ukhuwwah. Selamanya tempatmu dihatiku.  

Nadhirah. Fatimah. Kak Hazwani. Husna. Azyan. Khadijah. Asma’. Hijrah. Atiq. Nabilah. Syifa’.

Kak Wan Fatimah. Kak Sumayyah.

Ok. Last. Terimalah pantun empat kerat.(kredit: ASP Fatimah)



Pelangi cuba melompat,
Alam tak tergugat,
Pelangi melompat tinggi,
Bubar satu galaksi.



Alhamdulillah. Aku masih di sini. 


July 2012



Tuesday, October 23, 2012

MUDAH '12 kita bersama.. Alfu Shukr!


Sungguh di bawah payungan ukhuwwah itu
kita bermain. Dan di dalam dekapan warna pelangi itu
kita meniti hari. Seiring makna hidup yang penuh erti.
Selagi ia terus diwarnakan lagi dengan tatanan kasih ilahi.

Sebenarnya tak ada apa pun utk di-post.
Tapi tiba-tiba teringatkan blog ni.
Dan hati pun tergamit utk mencoretkan sesuatu.

Ok post ni takkan jadi panjang berjela insyaAllah.
Sebab motif tulisan hanyalah sekadar utk ucapkan:
ALHAMDULILLAH^__^

Kerana apa ya?
Sebab....................................................

Baru teringat yang masa MUDAH haritu,
Member ASP (yg masih ada di UIA) cukup korum.
Memang mengaum! :D

Hehe.
Dah lama tak rasa perasaan gembira yang..
Segembira hari-hari tersebut.

[Dan kenangan silam pun berputar kembali]
Atiq
Djah
Yan
Kuzer
Cip
Asma'
Nad
Hijrah

With all these complete colors,
how can my life not be beautiful? Despite the rain! :)
p/s: I am confident with my rainbow umbrella, what about you?:D


OK baru rasa rugi sbb takde amik gmbr sesame time MUDAH 2012 :( Macam tem MUDAH 2011, kite ade gambar special;D
Tadaaa~


Ok dah janji tak nak panjang-panjang.
Motif post ni hanyalah utk ckp yang..
Saya rasa sgt gembira dpt bersama-sama kalian^_^
Ia merupakan antara detik-detik di UIA yg sy akan cherish 
........saaaaaaampai bila-bila. Dan harapan sy hny satu.....
Semoga Allah thabatkan kita hingga selamat ke JannahNya.
Janji kita pergi sana sama-sama ya :D

Especially written with love for ASP-ians,
who will always inhibit a special place in my heart.

Sincerely, ASP Fatimah.
RoARrRrrrR


Friday, August 10, 2012

Saksi Dakwah




"Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai serta bersabar dengan kesakitan akibat pergaulan dengan mereka itu, adalah lebih baik dari seorang mukmin yang tidak bergaul dengan orang ramai serta tidak bersabar atas kesakitan akibat pergaulan itu”


[Tarmizi dan Ibnu Majah]


Ah! Aku sering dimomokkan dengan kata-kata: “Kita ni da’ie. Orang akan tengok setiap tingkah laku kita. Apa yang kita pakai. Bahasa apa yang kita guna. Cara kita layan orang. Akademik kita. Urusan kita macam mana. Tersusun atau tak. Semualah.” Ish! Aku tak puas hati. Habis tu, kalau bukan da’ie, orang takkan pandang? Orang tak kesah? Kalau macam tu tak payah lah jadi da’ie!

Astaghfirullah.

* * * * * * * * * * * * * * * * 

“Awak tak sesuai lah jadi Peguam Criminal. Orang macam awak ni, jadi Peguam Syar’ie lah.”

Amboi bang. Sesuka hati tentukan masa depan aku. Jangan cabar-cabar! Pantang tahu! (dalam hati je)

“Kenapa?” (sambil kawal emosi)

“Saya tengok awak tak sesuai. Cara awak pakai. Gaya awak. Memang bukan Lawyer Criminal lah. Jadi Peguam Syar’ie ok lah. Buat kes cerai artis. Haha.”

“Tu, kakak tu. Pakai tudung. Baju kurung. Boleh pula?”(Merujuk kepada Puan Pendakwaraya)

“Tak sama. Ada beza. Awak lain.”

Hmm. Apa-apalah wahai Encik Polis. Malas aku nak layan.

Eh. Bukan aku nak cerita tentang Encik Polis dengan soalan-soalannya yang pelik dan takde kaitan dengan point yang aku nak bawa. Tapi tentang peranan saksi yang seperti da’ie.
Peranan saksi seperti da’ie. Ya. Peranan saksi seperti da’ie. Syahadatul Haq?

Eh. Bukan-bukan. Tentang Syahadatul Haq, aku pasti ramai yang dah jelas.

Begini. Peranan da’ie tu, sama macam saksi, dalam satu sudut.

Macam ni kisahnya,

Seorang saksi itu, apabila dia menjadi saksi dalam suatu kejadian, lebih-lebih lagi dalam kes jenayah, dia akan dipanggil untuk memberi keterangan oleh pihak Pendakwaraya. Kan?

Saksi yang dipanggil oleh pihak Pendakwa akan memberikan keterangan yang…err…yang…berdasarkan keterangannya, nampak seperti tertuduh benar-benar melakukan jenayah tersebut.

(Eh. Bos aku defend pesalah! Macam mana ni? Heh. Tunggu dulu)

Bila saksi tersebut disoal balas (cross examination).., Eh? Biar betul. Nampak macam saksi tadi tersalah tuduh oranglah pula. Kenyataan yang bercanggah. Jawapannya tak parallel dengan story line yang dia cerita. Mana satu ni?

Begitulah situasinya dalam mahkamah. Bukan senang nak sabitkan seseorang itu bersalah atas sesuatu tuduhan. Mesti prove beyond reasonable doubts! Lebih baik lepaskan tertuduh yang bersalah daripada tersalah hukum orang yang tidak berdosa.

Oh. Dah lari ni. Bukan itu point yang aku nak bawa. Hehe.

Berbalik semula kepada saksi tadi. Ketika dia memberi keterangan, kamu tahu apa yang Encik Lawyer buat? Mereka catit dengan tepat setiap apa yang saksi luahkan. Terutamanya Encik Lawyer Peguam Bela (memandangkan saksi tersebut dipanggil memberi keterangan oleh Puan Pendakwaraya). Apa yang disebut saksi akan dicatit dengan betul. Tak tambah tak kurang tak tukar.

Bila ada kenyataan yang bercanggah.. Ha! Inilah peluang mereka untuk menimbulkan keraguan munasabah. (Reasonable doubts)

“Eh. Tadi waktu disoal Pendakwaraya, kamu kata lain. Macam mana bila saya tanya sekali lagi, kenyataan awak berubah?”

Erm. Saksi keliru ke? Takkan lah menipu? Kalau dia masih keliru dengan kejadian yang dia alami, bagaimana dia tergamak, dan dengan yakinnya, tampil kehadapan untuk beri keterangan yang bakal menyebabkan tertuduh disabitkan bersalah dan dihukum?

Menipu? Orang yang menipu memang kita boleh detect. Kenyataan berubah-ubah dan bercanggah. Tapikan, sebelum dia buat keterangan, dia sudah bersumpah untuk bercakap benar. Semua orang pun tahu akibatnya menipu dan melanggar sumpah.

Oh. Itulah realitinya kehidupan ini. Setiap hari, dalam mahkamah, inilah yang berlaku. Penyelesaiannya apa? Tuan Hakimlah yang akan menentukannya. Berdasarkan hujjah dan bukti yang dikemukakan, dengan mengambil kira situasi yang berlaku, akhirnya, Tuan Hakim akan memutuskan berdasarkan ilmunya. Huh~ Bukan senang jadi Tuan Hakim. Bukan senang jadi Encik Lawyer. Dan, tersangatlah susah kalau kita jadi saksi.

Peguam Bela akan menjadikan kata-kata saksi sebagai hujjah untuk mematahkan pertuduhan. Mereka akan sentiasa mencari ruang apabila saksi melakukan kesalahan. Salah buat kenyataan, nampak saksi seperti menipu dan keliru. Kenyataan yang saling bercanggah, menampakkan saksi ragu-ragu dan tak yakin atas penyaksiannya.

Dan. Kaitannya dengan da’ie? Eh. Tak nampak lagikah? Hehe.

Ya. Da’ie itu, dia menyampaikan dakwahkan? Dengan perkataan dan perbuatannya. Setiap yang keluar dari bibirnya, orang sekeliling akan dengar (dan kebanyakkannya mendengar dengan telinga sahaja. Bukan dengan hati). Lebih-lebih lagi musuh-musuh da’ie. Kalau kenyataan da’ie bercanggah, itulah senjata ampuh musuh untuk mematahkan da’ie. Kalau kenyataan da’ie saling bercanggah dengan perbuatan kita, ya, itulah alasan mereka untuk menidakkan apa yang kita bawa. Segala mala dakwah kita, mereka tak endahkan.

Memanglah orang selalu kata, ‘Jangan lihat siapa yang berkata, tapi dengarlah apa yang disampaikan’. Kamu sangka musuh kita kesah? Mereka tak kisah pun. Yang mereka kesah, ‘Ish! Cakap tak serupa bikin!’. Da’ie itukan contoh dan qudwah dalam setiap tutur kata dan tingkah laku.

Kenyataan yang saling bercanggah. Kenyataan yang bercanggah dengan perbuatan. Eh. Eh. Da’ie ni, keliru ke dengan apa yang dia ‘saksi’kan? Atau da’ie ni menipu? Sebelum ni kata lain, sekarang kata lain. Dulu kata macam ni, kenapa sekarang dia buat macam tu?
Huh!

Dan yang menjadi Tuan Hakim dalam hidup da’ie adalah ummat manusia seluruhnya yang ada disekeliling da’ie tersebut, termasuklah musuh-musuh da’ie tadi. Mereka yang akan menilai dan memutuskan. Kalau Tuan Hakim tu sama macam kita, ada ilmu agama, mungkin dia dapat melihat dari kaca mata kita. Sangka baik. Berlapang dada. Manusia itu pelupa. Bagilah peluang kedua. Kalau musuh kita? No way!

Begitulah da’ie.

Sebab itulah da’ie mesti sentiasa jaga pertuturan dan tingkah laku. Jangan sampai dakwah yang kita sampaikan bercanggah dengan perbuatan kita. Kita selalu mengingatkan agar menjaga solat. Kerana bilamana solat terjaga, urusan lain-lain juga akan tersusun. Tapi, realitinya, kitalah yang selalu hantar assignment lepas due date. Datang kelas lambat. Terlupa kelas tambahan.

Kalau sahabat seusrah kita, mungkin mereka akan bersangka baik.

“Mungkin dia ada urusan family hujung minggu tempoh hari sehingga dia tak dapat menyiapkan tugasan.”

“Mungkin dia tak sihat.”

Tapi, kalau orang lain, kamu sangka mereka akan fikir begitu? Tentu tidak! Apatah lagi musuh-musuh kita yang sentiasa menanti-nanti kita buat silap. Kamu sangka mereka akan pertimbangkan kelemahan kita sebagai manusia biasa? Stop dreaming! Bagi mereka, da’ie itu harus sentiasa baik. Sempurna dan tak pernah buat silap.

“Hmm. Kata bawa dakwah, tapi dalam pelajaran tak perform pun. Bawa usrah sampai 4-5. Adik-adik bulatan gembiralah. Konferens rianglah. Cinta hatilah. Entah apa-apa lagi, boleh pula bagi komitmen. Tapi, dalam pelajaran, cukup-cukup makan je. Bukan ke kamu juga yang kata ‘Menuntut ilmu itu fardhu bagi setiap muslim’? Eh, jaga solat tak ni?”

Nah! Panahan halilintar bagi da’ie. Rasa macam langit nak runtuh tak? Dihujani batu-bata besar sebesar batu-bata piramid Firaun (mood Mesir tak habis lagi). Macam kene hiris dengan pisau tajam yang baru diasah. Aduh. Pedih. Sakit. Nyilu.

Ya. Itulah realiti.

Sama-samalah lebih berhati-hati. Kadang-kadang, kita memang tak boleh nak elak. Kalau benar-benar terjadi, yakinlah ada hikmahnya. Tapi, usaha kita penting. Jangan berserah pada takdir semata. Jangan jadi fitnah dakwah. Taubat.

Dan, Peguam Bela ini, macam-macam karakter. Ada yang biasa-biasa. Baik. Tenang. Boleh lah saksi jawab soalan dengan tenang. Tak tertekan.

Tapi, ada yang…..

“Saya katakan kepada kamu, sebenarnya kamu telah berkomplot dengan orang lain untuk melakonkan kes rompakan ini dan kemudian, kamu membuat laporan polis supaya kamu dilihat seolah-olah mangsa dalam kes ini. Setuju atau tak setuju?”

Wahaha. Soalan apakah ini! Soalan yang berbaur tuduhan! Merancang untuk melakonkan peristiwa ini dan kemudiannya melaporkan kepada polis untuk melepaskan diri? Sungguh tidak bertanggungjawab! Aku tak terfikir pun soalan ni akan ditanya.

“Kamu katakan, kamu dalam keadaan kelam kabut semasa kejadian tersebut. Setuju atau tidak saya katakan pada kamu, bahawa kamu sebenarnya masih ragu-ragu siapa sebenarnya tertuduh kerana kamu tak dapat melihat wajah tertuduh dengan jelas memandangkan wajah tertuduh dilindungi oleh vizer dan cermin mata hitam?”

“Walaupun saya……” Belum sempat saksi menghabiskan kata-katanya,

“Soalan saya, awak setuju atau tak setuju. Jawab apa yang saya tanya. Yang saya tak tanya tak payah jawab.” Tegas.

“……. Setuju.”

Amboi Encik Lawyer. Garangnya.

(Aku agak, jawapannya macam ni: Walaupun saya tak nampak dengan jelas, tapi saya yakin dialah yang melakukan semua ini. Wahaha. Sesuka hati tolong jawabkan untuk saksi)

Untuk soalan-soalan yang seterusnya, saksi jawab dalam keadaan takut. Mana taknya, disergah begitu. Teringat pensyarah aku pernah bagitahu, tugas sebagai saksi bukan mudah.
Beliau cerita, dalam satu kes, seorang polis dipanggil menjadi saksi. Polis tersebut, dengan gahnya memasuki mahkamah untuk memberikan keterangan. Bangga. Riak dan yakin beliau dapat mengharunginya dengan mudah. Selepas bertalu-talu disoal oleh Encik Lawyer, beliau tertunduk lemah. Berpeluh-peluh. Berkerut dahinya. Tak larat dah nak jawab soalan Encik Lawyer.

Ha! Itulah tugas saksi. Bukan mudah. Aku dah bagitahu kan tadi?

Kembali kepada tajuk. Hmm. Begitulah perangai Encik Lawyer ye.

Begitu juga dengan realiti dunia hari ini. Kamu sangka, manusia sekeliling kamu akan sentiasa berlemah lembut dengan kamu? Tak semestinya! Kamu sangka musuh kamu akan setia mendengar hujjah dan alasan kamu? Oh! Ini tidak mungkin terjadi. Dah nama pun musuh, dia takkan pernah beri kita peluang. Manusia. Rambut sama hitam tapi hati lain-lain.

Ada juga orang yang suka jawapan yang ringkas. Ya atau Tidak. Setuju atau Tidak Setuju. Alasannya mereka tak nak ambil tahu.

Tak adilkan? Tapi, mereka kesah apa? Mereka Cuma menilai dari apa yang zahir. Penjelasan, alasan, mereka tak nak dengar. Yang penting, kamu cakap tak serupa bikin! Kejap cakap lain, kejap lagi lain pula! Putar belit! Kamu kan da’ie, mana boleh buat salah. Huh.

Susah ya nak jadi da’ie?

Jadi… Tak payah lah jadi ‘saksi’ tu. Buat susah diri. Kena sentiasa waspada. Tak boleh salah sikit pun. Nanti kita yang kena balik atas apa yang kita katakan. Kita jadi orang kebanyakan je lah. Takde orang tengok. Takde orang kesah. Bebas buat apa sahaja.

Hey! Takkan kita nak Allah gantikan kita dengan orang lain?

''Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu''
[Surah Muhammad : 38]


Oh. Andai kamu tak kesah, silakan. Aku tak sanggup tahu!

Dan, sebab itulah, ganjaran untuk daie ni, syurga. Syurga tu mahal. Kalau nak, pengorbanan kenalah besar. Allah ampunkan dosa kot! Selamat dari neraka.

Of course lah pengorbanan pun kene hebat. Korbankan dulu jiwa dan hartamu!


“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?(yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya, niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam surga Adn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.”


[As-Shaaf : 10 – 13]



Kesimpulan:

Da’ie memang selalu diperhatikan. Hati-hati.

Tapi, ketika giliran kita untuk menilai seseorang, janganlah buat kesimpulan terhadap seseorang sebelum dia diberikan hak untuk membela diri. Dengar cerita dari kedua pihak. Kemudian, terpulanglah. Barulah kita jadi orang yang matang dan adil.

Walaubagaimanapun, aku tak lihat tugas da’ie ini sebagai satu bebanan, bahkan ianya adalah sesuatu _____ (alat, macam tak sesuai) untuk menjaga diri kita. Kita kan akan dipersoalkan atas setiap kata-kata dan perbuatan kita. Jadi, kenelah jaga perkataan dan perbuatan sentiasa. Bila jadi da’ie, kita kan selalu diperhatikan (oleh Allah dan manusia sekeliling kita). Ada malaikat yang sentiasa catit amal kita. Memandangkan konsep Ihsan itu agak susah untuk kita amalkan 24 jam, mungkin mata-mata manusia inilah yang jadi penghalang supaya kita tak ambil kesempatan dan berwaspada dengan dosa.

Saya bukan memburukkan Encik-encik Lawyer, kerana itulah cara mereka untuk mendapatkan kepastian dari saksi. Malah, tugas mereka adalah tugas mulia. Menegakkan yang haq. Supaya nanti takde yang tersalah hukum. Yang benar tetap benar, kan? So, biar mereka yang pakar ni buat kerja. Kita tunggu hasilnya. Andai mereka melaksanakan tanggungjawab mereka dengan amanah, takde istilah ‘membela pesalah’ atau ‘berkomplot dengan penjenayah’ dan sebagainya. Namun tidak dinafikan ada mereka-mereka yang melakukan kerja keji ini. Membuat alibi palsu, putar belit fakta dan macam-macam lagi. Na’uzubillahi min zalik.

Dalam berdebat, jaga akhlaq dan adab. Jangan kalah dengan emosi. Kamu akan dihormati.
Peringatan ini adalah untuk saya secara peribadi. Harap maklum.

"Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan? Sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan"


[as-Soff: 2-3]




Allahu a'lam.


Monday, April 30, 2012

Rabbi

Merindui Penciptaku,
Merasa malu akan tindak-tanduk diri,
Dia yang sentiasa memberi,
Aku yang sentiasa meminta,
Namun kurangnya diri bersyukur padaMu.

Tuesday, March 27, 2012

Pemilik Hati


Dalam meniti perjalanan hidup sebagai Da'ie, yang penuh dengan harapan dan cita-cita yang tinggi; menjadikan bumi ini sebagai tempat 'Ustaziatul 'alam, kita sering bergerak laju umpama shikansen, kereta api terpantas. Susah betul hendak berhenti!

Tapi, adakah cara kita menyentuh hati-hati penumpang seperti layanan yang disediakan oleh shinkansen tadi? Adakah lebih baik dari itu?

Namun, walaupu kita sudah menyediakan dan berusaha menyentuh hati-hati itu, sering juga ada yang merungut dan berdolak-dalik, penuh seribu satu kecerewetan dan alasan, atas layanan kita kepada mereka.

Ya, hati-hati mereka bukanlah milik kita. Mereka bukan boneka. Mereka bukan akan sentiasa tunduk pada kebaikan yang kita curahkan. Hati-hati mereka juga bukan milik mereka. Pemilik hati-hati itu hanya yang satu. Dia-lah yang memegang setiap hati-hati manusia. Dia-lah yang membolak-balikkan hati-hati manusia.

Usaha kita, itu yang menjadikan kereta api kita berjalan lancar. Biar sebanyak manapun penumpang-penumpang menebar onar dan cabaran dengan pelbagai karenah.

Betapapun kita mengharap dan mencurahkan segala kepada mereka, jika Pemilik hati masih belum mengizinkannya, maka tiada yang berubah.

Mohon. Ya, kita selalu perlu menghantar surat permohonan, agar diperkenan perjalanan kereta api kita lebih lancar dan tenang, kekuatan kita bertambah dan kesabaran kita meningkat dalam menyantuni penumpang kita. Kepada? Pemilik hati itu. Dia-lah yang sedia mendengar. Dia-lah yang sedia memperkenan. Dia-lah yang menanti-nanti pengaduan kita. Dia-lah yang MAHA PENgaSIH dan MAHA PENYAYANg.

Jangan nanti, hati kita yang berbolak-balik.
Moga hati kita ditetapkan dalam jalan ini.amin.

Thursday, February 16, 2012

Dai'e Hidup Lebih Lama?

Bismillah.

Dai’e hidup lebih lama?

Kata naqibah, jalan dakwah itu sangat panjang. Thoriqu ad-Da’wah Towiilun. Berliku-liku. Bersimpang-siur. Bercabang-cabang. Berlubang-lubang. Orang yang mengharungi jalan ini akan menghadapi pelbagai masalah dan dugaan. Diuji dengan macam-macam.

Kadang-kadang, dai’e tu tersilap masuk lorong. Lalu sahabatnya lah yang akan tarik dia semula ke jalan yang betul.

Kadang-kadang, dia terjatuh masuk lubang. Sahabat usrah dialah yang akan tarik dia keluar dari lubang.

Kadang-kadang, dia tersadung batu dan terjelopok terjatuh tergolek. Macam biasa, akhawatlah yang hulur tangan membantu dia bangkit semula.

Namun, itulah sunnah dalam berdakwah. Penuh onak duri. Lalu, betapa ukhuwwah itu sangat penting bagi seorang dai’e.

Kita dah diingatkan berkali-kali. Orang mu’min itu kan bersaudara. Iman dan ukhuwwah sangat berkait rapat.
Ibarat sebuah bangunan. Didirikan dengan susunan batu-bata. Ditampal dengan simen menjadikan ia kukuh tak jatuh.

Begitulah orang mu’min. ibarat sebuah bangunan. Ukhuwwah yang menguatkan kita. Begitulah pentingnya ukhuwwah.

Jadi, kenapa dai’e hidup lebih lama?

Dai’e hidupnya panjang lantaran jalan hidupnya yang berliku bersimpang-siur bercabang berlubang. Bukanlah dai’e tu akan hidup lebih lama. Hidup ini dirasakan sangat panjang bila kita terpaksa berhadapan berbagai kesusahan bukan?

Begitulah jalan hidup seorang dai’e. Mengajak manusia kearah kebaikan bukan kerja mudah. Seringkali dia disakiti.

Macam Rasulullah s.a.w. Biarpun baginda digelar al-Amin, orang yang paling dipercayai di Kota Mekah, baginda masih dituduh sebagai ahli sihir, orang gila. Baginda disakiti. Dipulaukan. Dan macam-macamlah.

Justeru itu, dalam ceritera hidup seorang dai’e, ukhuwwahlah yang menjadi intipati utamanya. Yang akan membantunya menghadapi segala jalan berliku bersimpang-siur bercabang berlubang tadi.

Malah, akhawatlah yang akan bersama-samanya dalam menghadapi segalanya.

Sebab itulah Ukhuwwah Teras Kegemilangan!

Jazakillah ASP atas ukhuwwah ini. Sayang semua ^__^v





Friday, February 10, 2012

Semuanya Indah Dari Kacamata Hikmah

Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
[al-Baqarah:216]




Bismillahirrahmanirrrahim.

Kita selalu mengimpikan untuk memiliki semua yang kita cinta. Manusia cintakan kekayaan. Lalu berlumba-lumbalah manusia mengejar kekayaan. Sebahagiannya menggunakan jalan yang betul. Manakala sebahagian yang lain menggunakan cara yang tidak sepatutnya, menzalimi hak manusia lain.

Manusia cintakan kecantikan. Lalu dibelanjakan harta yang melebihi keperluan untuk mendapatkan kecantikan. Bahkan, ada yang sanggup menggadaikan kesihatan dan hukum agama.

Manusia cintakan pangkat dan darjat. Dilakukan apa sahaja demi mencapai hajat, meskipun menggadai kehormatan dan menyatakan yang batil. Ikut telunjuk orang atasan biarpun ianya jelas bertentangan dengan prinsip peribadinya. Malahan, sanggup ditohmah orang lain.

Sahabat, tak salah untuk mendapatkan apa yang kita cinta. Tapi biarlah kena pada tempatnya. Biarlah lurus jalannya.

Yang penting, usaha. Allah tidak menilai pada hasil, tapi pada usaha.

Namun, tak semua orang yang berusaha mendapat hasilnya.

Bagi yang positif, akan cuba dirasionalkan sebaiknya. Hingga semua yang berlaku tampak indah belaka. Semuanya ada hikmahnya.

Tapi, bagi yang negatif, disalahkan takdir yang menimpa. Nasib buruk yang asyik menyebelahi. Pembawa sial dan sebagainya. Astaghfirullah.

Cuma nak ingatkan, tentang ayat quran di atas, tak semua yang kita suka baik untuk kita. Dan tak semua yang kita benci buruk untuk kita. Kita Cuma manusia biasa. Akalnya terbatas untuk melihat semua hikmah yang tersembunyi.

Manakala Allah, Dialah yang maha Kuasa, maha Mengetahui segala-galanya. Dia yang menciptakan kita. Lalu, Dialah yang paling tahu tentang diri kita, melebihi diri kita sendiri.

Oleh itu, bila Allah tetapkan sesuatu ke atas kamu, maka terimalah dengan redha. Sebab itu adalah yang terbaik. Bukan Dia tidak adil ka atas kamu. Atau telah meminggirkan kamu. Tapi, yakinlah itulah yang paling baik untuk kamu.

Kalau kamu tidak kaya, itu yang terbaik untuk kamu. Mana tahu, kalau kamu kaya, kamu jadi bongkak dan memperlekehkan orang miskin. Lebih teruk lagi, mengabaikan tututan agama, tidak membayar zakat harta.

Kalau kamu kurang cantik, itulah yang terbaik untuk kamu. Mana tahu, kalau kamu cantik, kamu merendah-rendahkan golongan yang kurang cantik. Lebih teruk lagi, jika kamu mempamerkan kecantikan yang sepatutnya kamu tutup. Itu kan melanggar tuntutan.

Kalau kamu cuma orang bawahan, percayalah itulah yang terbaik buatmu. Mana tahu, kalau kamu seorang yang berjawatan tinggi, kamu menzalimi orang bawahanmu. Lebih teruk lagi kamu berani melakukan perkara terlarang untuk memuaskan dirimu dan konco-koncomu.

Terima kasih ya Allah atas segala nikmat yang Kau kurniakan hari ini.

Semuanya Nampak indah bukan? Bila kita melihat setiap sesuatu pada hikmahnya.

Ada hikmahnya bila Allah berikan kita ini, bukan itu.




Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
[al-Baqarah:216]


wallahu a'lam.

Saturday, February 4, 2012

Pada Usia 21 tahun 11 bulan dan beberapa hari...

Sedang mengulang baca buku Nota Hati Seorang Lelaki oleh Ustaz Pahrol Md Juoi sempena cuti yang masih tersisa dan terjumpa satu nota yang dirasakan sangat dekat dengan diri sekarang.
Nota 23. Tajuk: Selamat Pendek Umur
Ramai orang akan mengucapkan ‘selamat panjang umur’ dan ‘moga murah rezeki’ pada hari ulang tahun kelahiran kita kan? Tapi tak ramai yang nak mengingatkan bahawa tibanya hari ulang tahun kelahiran kita, maka semakin dekatlah kita dengan kematian. Kerana setiap manusia itu, dilahirkan dengan tempoh luput sendiri. Cuma kita je yang tak tahu bila, bagaimana dan dimana. Tapi sememangnya telah jelas dijanjikan bahawa;
" Setiap diri (yang bernyawa) mesti merasai mati, Kami akan uji kamu dengan kejahatan dan kebajikan, sebagai satu ujian; kepada Kami kamu akan dikembalikan" Surah Al.Anbiyaa' (35)
Dan Allah ulang lagi ayat yang lebih kurang macam ni dalam beberapa surah lain.
"Tiap-tiap jiwa merasakan mati; kemudian kepada Kami kamu dikembalikan." (29:57)
"Tiap-tiap jiwa akan merasakan mati, dan sungguh, kamu akan dibayar sepenuhnya upah kamu pada Hari Kiamat; sesiapa yang disingkirkan daripada Api dan dimasukkan ke Taman, akan mendapat kemenangan. Kehidupan dunia adalah tiada, melainkan kesenangan yang memperdayakan." (3:185)
Gerun kan bila bercakap tentang mati? Takut kan? Rasa tak bersedia. Rasa tak nak mati lagi. Rasa belum cukup amal dan sebagainya. Tapi itulah hakikat yang kita perlu hadapi. Mati itu pasti. Dan ia akan datang, pada masa yang telah ditetapkan. Samada kita bersedia atau tidak. Samada kita mahu atau tidak. Jadi mungkin, adalah lebih baik jika, kita mula berusaha untuk mendapat husnul khatimah dan menggapai redha Allah, moga-moga kita akan digolongkan bersama-sama hamba-Nya yang dikasihi, daripada kita terus-menerus berada dalam ‘denial stage’ dan terus-menerus cuba meyakinkan diri sendiri dengan penipuan-penipuan bahawa ‘aku belum nak mati lagi, aku masih muda’ kerana mati itu, adalah rahsia tuhan dan dunia ini hanya persinggahan.
Oleh itu, jom jadikan hari ulang tahun kelahiran kita, sebagai satu muhasabah diri, untuk merenung dan mengukur kembali, sejauh mana kita telah melangkah dalam dunia ini? Apa yang telah kita siapkan sebagai mahar penebus syurga nanti? Layakkah kita untuk sebuh syurga abadi? Atau kita telah pun menjadi seperti mayat hidup di dunia ini, walaupun sebelum Izrail sempat mencabut nyawa dari tubuh kita?
Macam mana?
Contohnya apabila kita hidup di dunia, tapi tidak pernah menyumbang atau berbakti kepada orang lain. Hidup nafsi-nafsi. Dan tidak berfungsi untuk orang lain. Tak ubah seperti mayat hidup. Kan? Orang tak tahu pun kewujudan kita, dan tak peduli pun tentang kewujudan kita. Sedih!
Kesimpulannya, rancanglah kematian anda, selagi anda masih hidup. Kerana anda tidak mungkin dapat merancang kehidupan anda, setelah anda mati. Betul?

Nabi cakap;
"Orang yang paling cerdik adalah orang yang sentiasa mengingati mati." (Riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Abidunya.)
Kenapa?
Kerana orang yang sentiasa mengingati dan merancang kematian, tidak akan mensia-siakan umurnya untuk perkara-perkara yang tidak akan menjamin kesejahteraannya di akhirat. Dunia tiada lagi di hatinya, tetapi diletakkan ditangannya, untuk diurusi sebaik mungkin kerana dunia itu adalah ladang dan hasil tuaiannya hanya akan didapati di akhirat nanti.

Wallau’alam
-kata kata bukan seorang ustazah, apetah lagi seorang ustazah pilihan. Grr-
oh! Happy birthday in advance, to me~ :)
p/s: jika saya boleh minta sesuatu sebagai hadiah ulang tahun saya, saya akan minta setiap seorang daripada anda, untuk mendoakan saya. doakan kesejahteraan saya dunia dan akhirat. terima kasih. :D

Thursday, January 26, 2012

Anda busy? Tahniah! ^_^

Busy. Sepanjang semester pun busy, masa cuti pun busy.
Masa mula-mula tak berapa nak faham konsep busy ni, boleh tahan pelik juga dengan diri sendiri.. Sbb sekejap rasa sangat bersyukur mendapat nikmat da'wah dan tarbiyyah, tak lama lepas tu boleh pulak rasa sedih, down dan mengeluh mengenangkan nasib diri yang 'tak habis-habis busy'. Tapi bak kata abah, syaitan memang sangat pandai nak buat kita rasa letih, sedih, tak terbela dan sebagainya. Aim dia memang nak buat kita lambat dan berhenti - Terutamalah pada sosok peribadi bernama da'ie, gangguannya semestilah bertambah dahsyat dan intensif krn kita kan supposed to be tenteraNya (maaf Allah kalau kami menjadi jundiymu yang sokmo lalai =.= tskk).

pilihlah dan ambillah keputusan untuk kekal di atas jalan ini.
bertitik-tolak dari hati yg sedar dan mahu. kemudian mintalah agar Allah kuatkan kita.


..Fikirkan kembali, macam mana mungkin kita berpaling pergi, atau menyurutkan langkah, kalau kita faham bahawa seluruh masa kita andai dikorbankan sekalipun, takkan mampu menyamai apatah lagi menandingi besarnya nilai DnT yang mengangkat risalah Allah di atas bumi ini. Dan rupanya, kesibukan yang melanda itu bukti Allah sangat sayang dengan kita, serta meletakkan nilai/harga yang amat tinggi pada masa yang kita ada. Seolah-olah Allah pinjam sekejap, utk memberi full salary + bonus/pulangan berlipat kali ganda yg tak ada taranya di akhirat nanti! (57: 11) untung, memang untung!

'Ala kulli hal, tak dinafikan bahawa berada dalam jalan DnT ini tak bermaksud seluruhnya kita perah sampai rebah tak berbaki. Sememangnya kita perlukan masa untuk diri sendiri, masa untuk meraikan sisi-sisi manusiawi. Masa untuk merasa segar, masa untuk retreat supaya boleh melonjak semula. Masa untuk diri sendiri itu, terpulanglah kepada definisi masing-masing. Pada saya, masa untuk diri itu ialah bila:

1. Berjumpa akhawat dan menyedari bahawa kita tak perlu perasan bahawa kitalah satu2nya manusia yang berasa penat atas dunia ni sbb ramaaaaaaai lagi akhawat yang amazingly penat tapi stunningly tetap osem dengan kerja-kerja da'wah mereka. cool and steady~ easy on yourself, ease and peace..(^__^)v
2. Menjadi 'muda' semula - Bermain dan bergelak ketawa dengan adik-adik. ya, nikmat keluarga itu memang tak ada galang gantinya. A good laugh heals.
3. Mendengar nasyid/melodi yang menenangkan hati dan fikiran, atau bacaan ayat2 suci Al-Qur'an dari qari yang best! Atau kalau boleh saya kongsikan, alunan azan dr sheikh Naser Al-Qatami - all time fav!
4. Hobi baru: Google gambar pemandangan/ciptaan2 Allah yang sangat menakjubkan dan biar diri disapa rasa 'terangkat' dan sangat amazed sampai ternganga sokmo dan asyik2 kena ckp "wowww.. subhanallah. subhanallah.. subhanallahhhhh!" Itu sebenarnya suatu kepuasan.
5. Membayangkan perkara2 best~ i.e. Angin hawa sejuk. Duduk di atas buaian. Bawah pokok besar. Dikelilingi bunga-bunga Saffron. Sambil makan ice cream. Latar belakang alunan melodi2 terbaik diiringi bunyi alam semula jadi. Atau bayangkan masuk syurga, dan merasa sungguh puas hati dan berbaloi-baloi segala 'pengorbanan' lalu di dunia ini suatu ketika dahulu (93: 5). Ameen, ameen, ameen.

kekuatan imaginasi memang menakjubkan.
Tapi sedikitpun xdpt menjangkau indahnya syurga Tuhan.
credit pic: FB k.Sumey


-Tapi ingat bahawa untuk syurga dan seisi nikmatnya itu, inna ma'al 'usri yusra - "Sesungguhnya dengan setiap kesusahan itu (akan datang) BANYAK kebaikan". Dan yakinlah bahawa sedikit apa yang kita bagi, Allah yang Maha Baik lagi Teramat Kaya akan beri kita lebih dari apa yang kita pinta. Baiknya Tuan ini, memang tak sampai hatilah nak menderhaka dan malunya bila nak meminta! >_< lagi malu bila lokek nak memberi...pergh..

Akhirnya, suka utk di-quote daurah Nuqaba' november lepas utk peringatan bersama..
"Bz bukan saja-saja. Bz tu sebenarnya kerana Allah. Bz tu boleh jd kehendak Allah untuk menguji waktu kita."

Kesimpulan: uruslah masa-masa kita dengan berkesan, terbaik dan teratur, especially sbb sem baru dah naik naik! ^_^ Kalau rasa tak mampu, jom kita figure out sama-sama teknik pengurusan masa, pengurusan da'wah dan pelajaran yang efektif. Tips from the floor amatlah dialu-alukan. Last but not least, salam kasih sayang to all ASP-ians dan akhawat di mana sahaja anda berada :)

*Life is not always easy but trust me, together we can make it beautiful + enjoyable~
**Siapa kita ialah pada bagaimana masa-masa kita diisi dan dengan apa.